۩۞۩سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم۩۞۩

Monday, 7 May 2012

INFO KESIHATAN :Mandi Malam Dan Paru-paru Berair, Satu Mitos??


Adakah benar persepsi tentang tabiat mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit kronik? Apa kata pakar dalam penjagaan kesihatan tentang isu ini?
Dr. Anies Tan, seorang doktor perubatan di hospital swasta menjelaskan kajian menunjukkan yang mandi bukan sahaja boleh membersihkan badan daripada kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stres. Katanya, mandi memainkan peranan penting dalam mempertingkat sistem imun badan selain mengelak berlakunya penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain.

“Kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetes, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita. Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit-penyakit ini,” kata beliau.
Menurut Dr. Tan, air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin. “Mandi dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu usus berfungsi dengan baik. Tapi kalau anda sedang mengalami stres, mandi dengan air sejuk boleh membantu. Tetapi bagaimana dengan isu mandi pada waktu malam?

Kata Dr. Tan, negara ini mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah panas dan lembab dan oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan.
“Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia dan tinggal di negara yang mempunyai iklim musim sejuk. Mandi malam adalah baik kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus.
“Amalan mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Di hospital juga, pesakit yang boleh berjalan dan boleh mandi, memang kami galakkan mandi”. Kata beliau, kegagalan mandi yang secukupnya boleh mendatangkan penyakit kulit dan juga bau badan.

“Bakteria boleh bertindak pada peluh dan ini membangkitkan bau badan,” katanya sambil menambah bahawa kesegaran mandi membuatkan badan lebih sihat, selain membersihkan bakteria daripada permukaan kulit.
“Pembersihan kulit berlaku bila kita mandi. Lebih baik lagi jika kita menggunakan sabun antibakteria,” katanya dan menerangkan prinsip yang sama pada amalan membasuh tangan.
“Ia satu amalan kebersihan yang baik bila kita kerap basuh tangan terutama sebelum makan, sama juga bila kita mandi walaupun pada waktu malam,” kata beliau.

Ekzema

Ekzema adalah penyakit kulit kronik yang menyebabkan kulit menjadi kering, senang mengalami iritasi dan kegatalan. Tiada ubat bagi masalah ini tetapi penjagaan kulit yang baik membantu mengawalnya.
“Bila kulit anda kering, ia bukannya kurang minyak tetapi kurang mengandungi air. Untuk itu, penjagaan kulit harian yang baik serta fokus pada mandi dan penggunaan pelembab diperlukan,” terang Dr. Tan.
Katanya, rawatan bagi kulit yang kering adalah dengan membuatkan kulit mengandungi air dan cara yang terbaik dengan berendam ketika mandi dan menggunakan losyen pelembab selepas itu.
“Tujuan mandi dan memakai pelembab adalah untuk memulihkan kulit kering.
Bagi tujuan ini, kita perlu kurangkan kehilangan air daripada kulit.
“Pakar dermatologi (kulit) mengesyorkan mereka yang ada masalah ini supaya mandi dan menggunakan pelembab pada waktu malam. Kulit anda tidak mungkin kering semasa anda tidur, jadi air lebih senang meresap ke dalam kulit,” terangnya.


Jadual kerja ketat

Ada juga ramai yang tidak punya masa untuk mandi secukupnya kerana jadual kerja yang agak ketat. Ada juga yang bermasalah bila berjauhan dari rumah dan tidak sesuai dengan tempat di mana mereka berada.
Pengamal perubatan, Hassan Saidin menerangkan jadual kerja yang ketat menyebabkan ramai ahli perniagaan serta peniaga enggan mandi secukupnya.
Ramai peniaga perlu keluar berniaga pada awal-awal pagi lagi dan hanya pulang ke rumah pada lewat malam. Ini menyebabkan mereka malas mandi kerana menyimpan tenaga untuk aktiviti perniagaan pada esoknya.
“Gagal mandi adalah tidak baik bagi kesihatan dan ini boleh mengundang pelbagai penyakit yang mengganggu kehidupan kita. Ia juga boleh mengganggu keyakinan dan produktiviti kita,” kata beliau.
Tetapi kenapa orang tua-tua mengatakan mandi malam tidak baik?
“Nasihat sebegitu mungkin tidak berapa boleh dipakai lagi pada masa kini. Mungkin pada dekad-dekad yang lampau masyarakat masih belum maju dan kebanyakan rumah tidak punya saluran bekalan air paip.
“Satu masa dulu, ramai yang tinggal di luar bandar serta menggunakan perigi dan sungai untuk mandi. Untuk pergi ke perigi dan sungai pada waktu malam tanpa cahaya lampu dan suasana gelap gelita mungkin mengundang pelbagai bahaya seperti binatang berbisa dan juga bahaya di sungai, sebab itulah mungkin orang tua melarang kita daripada mandi waktu malam.
“Kini kita semakin maju dan mempunyai kemudahan yang jauh lebih baik. Bagi mereka yang pulang malam, eloklah bersihkan badan terlebih dahulu sebelum ke tempat tidur,” kata beliau.


Pemulihan badan

Menurut Hassan, mandi adalah kaedah baik bagi merehatkan otot badan.
“Setelah bekerja sehari suntuk, otak dan badan anda perlukan rehat. Mandi pada malam hari (sebelum tidur) boleh membantu mengembalikan ketahanan fizikal dan emosi.
“Terdapat banyak salah faham tentang isu mandi di waktu malam kerana ramai orang berpendapat ia lebih banyak mudarat daripada kebaikan termasuk mendatangkan penyakit,” katanya.
Jadi, adakah mandi malam sememangnya satu amalan tidak sihat?
Kata Hassan: “Sudah tentu tidak. Ia bukan memudaratkan bagi orang yang sihat”. Menurut Hassan, mandi menggunakan air hangat akan membuka liang roma dan membersihkan badan dengan mengeluarkan toksin dan memberikan kesan yang segar kepada seseorang itu. “Mandi juga membuatkan anda dapat tidur dengan lena dan membantu mengurangkan insomnia (susah untuk tidur),” tambah beliau.
Menurut pengamal homeopati itu lagi, mandi adalah satu amalan semula jadi bagi memberi regangan kepada minda dan badan. Seseorang itu bukan hanya dapat tidur lena tetapi juga tidur dengan lebih lama jika beliau mandi sebelum tidur.

Ramai antara masyarakat kita percaya bahawa jika seseorang itu kerap mandi malam, dikhuatiri akan dijangkiti paru-paru berair. Sebenarnya, itu tidak benar sama sekali! Mandi malam bukan penyebab utama masalah paru-paru berair.Proses kondensasi yang disebutkan saudara tidak berlaku sama sekali di dalam badan manusia kerana terdapat system imuniti badan yang mampu mengatasi masalah ini.
Bagaimana sistem imuniti badan bertindak?


Apabila bendasing (seperti bakteria,kuman dan lain-lain) masuk ke dalam badan, sistem imuniti tubuh akan segera bertindak mengawal bendasing ini daripada terus merebak ke seluruh badan dengan melaluiproses inflamasi di mana salur darah di sekitar alveoli peparu akan mengembang,menyebabkan cecair dalam salur darah akan keluar dan masuk ke dalam alveoli peparu . Proses ini berlaku secara berterusan jika tidak dirawat dengan segera . Akibatnya, peparu dipenuhi dengan cecair yang disebut sebagai exudate dan bukannya dipenuhi dengan air seperti dibayangkan oleh kebanyakan orang! Keadaan ini disebut sebagai ‘jangkitan kuman pada peparu’ atau lebih tepat didefinasikan sebagai pneumonia . Dan apabila cecair exudate keluar dan memenuhi ruang pleura,ianya disebut sebagai ‘pleural effusion’ ataupun paru-paru berair.



Kesimpulan

Setakat ini ,tiada lagi kajian yang mampu membuktikan bahawa mandi pada waktu malam boleh menyebabkan pneumonia dan pelbagai jenis penyakit yang lain. Sebaliknya, mandi malam boleh merawat insomnia dan melegakan tekanan . Tidak hairanlah di Jepun misalnya, mereka mengamalkan mandi pada waktu malam sebelum tidur sebagai langkah mengelakkan stress setelah seharian berpenat lelah menjalankan aktviti di tempat kerja dan sebagainya.

AKU MENANGIS KERANA MU....





Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Sebenarnya, Tiap kali saya membaca kisah ini, tiap kali itulah saya menitiskan air mata, meskipun sudah membacanya entah yang ke berapa kali. Ya, cerita ini yang disalin dari sebuah buku adalah suatu kisah yang berlaku di zaman pemerintahan Sayydina Umar Al-Khattab. Sungguh saya tak tertahan, rasa pecah hati, terharu sangat apabila membaca cerita ini.

Dua kali aku menitiskan air mataku, adalah kerana di dalam kisah ini, ada dua tempat yang saya baca, pasti mengalirkan air mata. Justeru kawan, kalau sudah baca kisah ini, dan benar-benar menitiskan air mata, beritahulah saya. Beritahu juga bahagian yang mana membuatkan anda menangis. Yang pastinya, saya yakin ada dua tempat yang mampu membuatkan anda menitiskan air mata. Bacalah kawan, dengan hatimu yang putih, paling bersih. Moga-moga beroleh rasa, Insya-Allah.


--------------------------------------------------------------------------------

Seorang pemuda bernama Hassan, keluar dari kampungnya dengan menunggang seekor unta untuk membuat satu perjalanan yang jauh. Setelah lama menunggang, dia keletihan lalu turun dari untanya dan bersandar di sebatang pokok lalu tertidur. Setelah sedar dari tidurnya, didapati untanya tidak ada. Hassan lalu terburu-buru mencari untanya itu. Dalam keadaan cemas dan bimbang itu, Hassan terjumpa untanya tetapi telah mati. Alangkah hairan dan marahnya Hassan.

“Pakcik yang membunuhnya,” kata seorang tua yang ada di sisi bangkai unta itu. “Tetapi bukan sengaja,” sambung orang tua itu lagi. “Ketika unta ini memakan tanaman pakcik, pakcik lontar dengan batu kecil. Kena betul-betul di kepalanya. Lepas itu, ia berpusing-pusing dan jatuh lalu mati.” Orang tua itu bercerita menerangkan kejadian yang sebenarnya.

Hassan dalam keadaan bingung kerana terkejut dari tidur dengan tiba-tiba mencabut pedangnya dan dihayun ke arah orang tua itu dan terpenggallah leher dari badan. Hassan seakan-akan baru bermimpi tersedar dari kejadian itu dan menyesal yang amat sangat. Hassan lalu mencari keluarga si mati dan menceritakan segala-galanya. Dua orang anak lelaki orang tua itu terus membawa Hassan kepada Amirul Mukminin hari itu juga. Dan Hassan pun dihadapkan ke mahkamah pengadilan. Amirul Mukminin sendiri yang menjadi hakimnya. Dengan dihadiri oleh beberapa orang Sahabat, perbicaraan pun dijalankan. Sayyidina Umar selaku hakim setelah mendengar pengakuan Hassan sendiri, telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hassan. Mendengar itu Hassan berkata:

“Demi Allah, saya lebih sanggup dibunuh di dunia daripada mendapat hukuman Neraka di akhirat. Tapi, wahai Amirul Mukminin, saya minta ditangguhkan hukuman itu dalam beberapa hari kerana saya mohon untuk memberitahu ibubapa saya, anak isteri saya dan saudara-mara tentang perkara ini. Mereka semua belum tahu dan kerana jauhnya dari sini tentu mereka tak akan tahu kalau saya tidak memberitahunya.”

Sayyidina Umar kerana tegas dan adilnya menjawab, “Tidak!. Tiada jaminan bahawa engkau datang lagi untuk menjalani hukuman ini.”

Hassan merayu lagi, “Kasihanilah saya tuan hakim. Semua orang yang mengasihi saya sedang menunggu keputusan saya. Mereka tentu tertanya-tanya kalau saya tidak pulang memberitahu tentang perkara ini.” Sekali lagi, Sayyidina Umar menunjukkan ketegasan dan keadilannya, “Tidak!!,” katanya.

Kali ketiga Hassan merayu, tiba-tiba salah seorang Sahabat bangun dan berkata, “Sekalipun saya tidak kenal saudara Hassan, namun atas nama Sahabat Rasulullah, saya minta tuan hakim memperkenankan permohonan Hassan. Jika sekiranya Hassan tidak datang pada hari akan dijatuhkan hukuman, maka biarlah saya yang dihukum.”

Dengan jaminan yang diberikan oleh Sahabat itu, Abu Zar, Sayyidina Umar pun membenarkan hukuman itu ditangguhkan. Dan Hassan pun dibenarkan pulang setelah menentukan tarikh yang akan datang. Sesampai di rumah, Hassan terus memberitahu keluarganya tentang apa yang berlaku dan berkata, “Biar saya jalani hukuman di dunia dari hukuman di Akhirat.” Menangislah ibubapa dan anak isterinya. Tetapi Hassan tidak lemah semangat terus dipacunya kuda menuju ke tempat pengadilan. Dia lebih takut pada Allah daripada anak isteri. Dia lebih cintakan Akhirat daripada dunia.

Di pertengahan jalan, tiba-tiba tali pacu kudanya putus. Hassan cemas kalau-kalau dengan itu, dia terlewat sampai. Bagaimanapun dengan susah payah, Hassan dapat membetulkan tali kekang kudanya dan akhirnya dapat meneruskan perjalanannya. Tetapi sudah lewat.

Di padang tempat hukuman hendak dijalankan, kerana kelewatan Hassan, semua yang menanti sangat cemas. Mereka cemaskan Abu Zar yang terpaksa menggantikan tempat Hassan. Dalam suasana kecemasan yang memuncak, tiba-tiba berbalam-balam di kejauhan semua yang hadir nampak kuda pacuan berlari kencang menuju ke tempat itu. Setelah yakin Hasaan yang datang, mereka bertempik: “Allahu Akbar! Allahu Akbar!”

Suasana tiba-tiba bertukar menjadi sedih dan terharu. Betapa jujurnya anak muda Hassan memegang janjinya sekalipun nyawanya akan melayang. Sebaik sahaja turun dari kudanya, Hassan menghadap tuan hakim dan berkata, “Demi Allah, saya tidak berniat untuk menempah kelewatan ini. Tali kuda saya putus di tengah padang pasir. Puas saya usahakan mencari tali untuk menyambungnya. Alhamdulillah, saya dapat dan selamat tiba ke sini, tuan hakim.” Kemudian katanya lagi, “Sebelum saya dihukum bunuh, izinkan saya bersolat dua rakaat.”

Sayyidina Umar pun membenarkan. Dalam doa akhirnya, Hassan berdoa: “Ya Allah, ampunkan keterlanjuranku dunia dan di Akhirat.” Selesai menyapu muka, Hassan pun menghadap menyerahkan dirinya untuk menjalani hukuman bunuh. Tetapi pada saat yang genting itu, tiba-tiba kedua beradik anak si mati menghadap tuan hakim dan berkata:

“Kami telah menyaksikan kejujuran dan keikhlasan saudara Hassan dan telah kami saksikan juga keberanian dan kasih sayang saudara Abu Zar. Juga telah kami saksikan ketegasan dan keadilan Amirul Mukminin menjalankan hukuman Tuhan. Hasilnya, kami memperolehi kekuatan untuk meredhakan kematian ayah kami dengan memaafkan saudara kami, Hassan. Lepaskanlah saudara Hassan daripada hukuman, wahai Amirul Mukminin.” Mendengar itu sekali lagi, padang itu bergema dengan laungan: “Allahu Akbar! Allahu Akbar!”

Mereka semua bersyukur kerana terampunnya seorang saudara mereka dari hukuman di dunia dan Akhirat. Insya-Allah.

“Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri,” sabda Rasulullah SAW.


--------------------------------------------------------------------------------

Ya Allah! Betapa saya tidak menitiskan airmata, berkali-kali. Cerita yang sebegini indah, yang merakamkan keagungan iman dan kasih sayang adalah satu keajaiban dalam sejarah manusia sepanjang zaman.

Anda/kita semua bagaimana?

Selain kisah ini, ada satu lagi kisah yang terjadi terhadap junjungan kecintaan kita, Rasulullah SAW saat-saat kewafatannya yang menyebabkan berkali-kali saya menitiskan air mata. Ya Rasulullah, aku merinduimu, mencintaimu. Ah, bukan dua kali aku mencintaimu ya Rasulullah, bahkan aku mencintaimu yang tiada kali-kalinya. “Ya Rabbi solli ‘ala Muhammad, ya Rabbi solli ‘alayhi wassalim, ya Rabbi solli ‘ala Muhammad, ya Rabbi solli ‘alayhi wassalim,” hati saya bernyanyi penuh rindu.

dan kini air mata ku menitis lagi....